Skip to main content

    Puisi Maafkanlah Saya - Oleh: Shah Ri Zan

    Bagaimana kata kata puisi dan maknya di balik rangkaian bait bait puisi maafkanlah saya, untuk lebih jelas dan detailnya silakan disimak saja puisinya berikut ini.

    MAAFKANLAH SAYA
    Oleh: Shah Ri Zan

    Maafkanlah saya...
    membela nasib saudara seagama
    di Palestin, Rohingya dan Syiria
    untuk menegur seluruh negara-negara Islam
    marilah kita bersatu bersama

    maafkanlah saya...
    membahaskan aplikasi hudud di dalam negara
    kerana rasuah berlangsung di depan mata
    dilakukan oleh pemimpin negara
    andai hudud terlaksana...
    tiada yang terkecuali
    setelah melihat bapak menteri kudung kedua belah tangan dan kaki
    tiada lagi yang cuba berani-berani

    maafkanlah saya...
    menegur disiplin murid-murid sekolah seluruh Malaysia
    yang terlalu manja sehingga tidak boleh dipiat telinga
    dimanjakan dengan kasih sayang berupa wang oleh ibu bapa
    kerana saya khuatir
    kalaulah anak-anak ini setelah besar diberikan kuasa
    habis dijoli semua perbendaharaan negara

    maafkan saya...
    kerana puisi saya terkadang berunsurkan syarahan agama
    setelah saya lihat orang-orang agama sedang sibuk mencari nama
    lebih senang goyang kaki
    dalam kamar dinginnya nyaman terasa

    maafkanlah saya...
    menyentuh kuasa mutlak raja-raja
    kerana kuasa mutlak itu sebenarnya telah dilampaui oleh seorang yang bergelar memanda

    maafkanlah saya...
    melaungkan nasib gelandangan dan fakir miskin
    kerana sebenarnya saya sekadar ingin bertanya
    ke mana lesap wang zakat negara
    yang dikatakan berjuta-juta banyaknya
    khalifah Umar Al-Khattab berjalan pada malam hari
    mencari siapa hamba Allah yang susah
    untuk dibantu nasibnya

    maafkanlah saya...
    tidak memohon bantuan BRIM yang diberikan percuma
    kerana setakat hari ini
    Allah tidak pernah lupa memberikan makan minum kepada saya
    saya malu kepada Allah yang menyaksikan kesanggupan manusia beratur panjang
    mahu cucuk duit yang hilangnya sekelip mata
    dari memenuhi saf-saf kosong di rumah-Nya

    maafkanlah saya...
    mengajak manusia menyembah Allah yang Esa
    setelah saya lihat semua pemimpin sedang sibuk berkempen
    berucap kepada sekalian marhaennya
    undilah saya
    undilah saya

    maafkanlah saya...
    kerana saya menegur bukannya mengata
    memang kuburan kita berlainan lubang
    tapi pada hari pembalasan
    semuanya akan ditanya
    kita akan saling mendakwa sesama

    TONGKAT SAKTI
    Belantara Konkrit
    Semenanjung Tanah Melayu 2 Mac 2018

    Rekomendasi Puisi Untuk Anda:

    Buka Komentar